Ahad, 7 April 2013

Khasiat Madu


BERAPA kerap anda menggunakan madu sebagai pengganti gula atau menjadikannya sebahagian daripada bahan masakan?
Tidak pernah, jarang atau anda hanya mengambil madu apabila mengalami masalah kesihatan seperti selesema dan batuk?
Dikelilingi dan didedahkan dengan pelbagai ubat moden sejak kecil, ramai antara kita terlupa bahawa madu juga boleh menjadi penawar kepada banyak gangguan kesihatan selain mempunyai nilai pemakanan tinggi.
Secara umumnya setiap titis madu mengandungi:
# Vitamin — A, B1, B2, B3, C, D, E dan K.
# Garam galian — Kalsium, fosforus, sulfur, zat besi, karbon, magnesium, natrium, kalium, klorin, iodin, kuprum, mangan dan silika.
# Beta karoten.
# Gula — Glukosa, fruktosa dan sakarin.
Khasiat madu banyak disebutkan dalam al-Quran seperti surah an-Nahl ayat ke-69 yang bermaksud: “Kemudian makanlah daripada setiap macam buah-buahan dan tempohlah jalan TuhanMu yang dimudahkan. Daripada perut lebah itu keluar minuman madu yang bermacam-macam warna di dalamnya terdapat ubat menyembuhkan bagi manusia. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda kebesaran Tuhan bagi orang yang memikirkan.”
Malah, Rasulullah SAW juga berpesan supaya kita berubat dengan madu dan al-Quran melalui hadisnya yang bermaksud: “Ambillah, pergunakanlah olehmu sekalian akan dua ubat penyembuh iaitu madu dan al-Quran.” (Riwayat Ibnu Majah)
Ada orang mengamalkan mengambil madu setiap hari untuk kekal sihat kerana ia bukan saja membekalkan banyak zat tetapi juga didapati boleh meningkatkan tenaga, merangsang dan memperbaiki aliran darah.
Madu juga kaya dengan fruktosa iaitu gula ringkas yang boleh diserap terus ke dalam darah untuk memberi tenaga segera.
Tidak hairanlah jika ada penyelidik menggelar madu sebagai ‘agen’ untuk mencerdaskan otak kerana apabila aliran darah lancar, lebih banyak oksigen dapat dibawa ke otak.
Ini membolehkan kita berfikir dengan lebih baik untuk menghasilkan idea kreatif dan meningkatkan prestasi kerja.
Lebih menarik, madu boleh menjadi antibiotik dan antiseptik bagi melawan jangkitan bakteria.
Kajian penyelidik Universiti Wales mendapati, madu boleh menghentikan aktiviti bakteria yang menyerang luka dan menghalang jangkitan daripada terus merebak.
Apabila menjangkiti luka, bakteria membentuk satu lapisan nipis dipanggil biofilem yang menyebabkan bahagian ini kurang sensitif pada antibiotik dan antiseptik.
Lapisan biofilem ini sukar dimusnahkan kerana apabila disapu ubat (antiseptik) bakteria bergumpal dan membentuk lapisan lebih tebal.
Maknanya jika anda menyapu antiseptik, ia kurang berkesan kerana lapisan ini menghalang antiseptik daripada membunuh bakteria.
Jika dibiarkan, bakteria pada luka ini membiak lebih banyak dan boleh menyebabkan luka menjadi kudis.
Penyelidik mengkaji enam jenis bakteria yang diambil daripada luka pesakit dan dibiak di dalam makmal.
Kajian mendapati madu mampu ‘memecahkan’ lapisan biofilem pada setiap kultur bakteria dan ini menandakan luka boleh bertindak balas dengan lebih baik terhadap ubat.
Kajian berkenaan membuktikan kaedah tradisional menggunakan madu untuk merawat luka pada askar yang diamalkan di kebanyakan hospital di Cardiff pada awal 1970-an sememangnya berkesan.
Selain itu, penyelidik di Australia mendapati apabila madu yang dicairkan disapu ke atas luka, ia menghasilkan hidrogen peroksida iaitu sejenis agen antibakteria.
Ia menghalang dan merencatkan pembiakan bakteria selama beberapa jam. Didapati lebih pekat madu disapukan kepada luka, kesan antibakteria ini lebih lama sehingga lima hingga 10 jam bagi madu dengan kepekatan dua dan tiga peratus.
Bagaimana madu boleh menjadi sehebat ini? Rahsianya ialah kandungan gula yang tinggi dalam madu. Jika ada kelembapan (air), molekul air ini melekat kepada molekul gula dan bakteria tidak dapat menggunakan air berkenaan untuk membiak.
Selain itu, kehadiran kalium dalam madu menyerap kelembapan yang menyebabkan bakteria tidak boleh hidup dalam madu. Ini sebabnya madu boleh disimpan bertahun-tahun lamanya pada suhu bilik.
Ada juga penyelidik menulis bahawa madu boleh digunakan dalam rawatan mangsa kebakaran darjah pertama (kulit menjadi merah, bengkak, sangat sensitif, sakit serta menggelupas sedikit). Menyapukan madu pada kulit yang terbakar boleh menghalang jangkitan, menyerap nanah dan mengurangkan kesakitan.
Madu berwarna gelap mengandungi lebih banyak kuprum, zat besi dan mangan. Madu juga boleh merangsang badan untuk menyerap vitamin dan zat pemakanan dengan lebih baik.
Dalam hadis yang diriwayatkan Bukhari ada menyebut Rasulullah SAW pernah menasihatkan meminum madu untuk mengatasi masalah cirit-birit. Kajian terdahulu membuktikan, madu dapat menyembuhkan luka peptik (luka pada usus) dan mengatasi masalah pada usus, termasuk sistem penghadaman.
Antara manfaat madu yang lain ialah:
# Membekalkan tenaga segera. Gula dalam madu mudah dihadam dan digunakan untuk memberi dan memulihkan tenaga.
# Membantu melawaskan sistem perkumuhan.
# Membantu buah pinggang berfungsi lebih baik.
# Mencergaskan dan menenangkan fikiran (kerana lebih banyak oksigen dibekalkan ke otak).
# Menghentikan jangkitan bakteria.
# Mengurangkan kesakitan pada kulit terbakar.
# Mengurangkan parut.
# Merangsang pertumbuhan sel baru dan mempercepatkan penyembuhan luka.
Walaupun mengandungi banyak gula, madu didapati boleh melindungi gigi daripada serangan bakteria. Kajian menunjukkan sifat antibakteria madu boleh mengelak pembentukan plak pada gigi dan pada masa sama membunuh bakteria dalam mulut yang secara tidak langsung mencegah kerosakan gigi dan keradangan gusi.
Jadi selepas ini anda (terutama ibu yang mempunyai anak kecil) ada alasan baik untuk menyimpan madu di rumah.
Untuk merawat luka, sapukan madu pada luka yang sudah dibersihkan atau pada pembalut luka.
Tukar pembalut ini sekali atau dua kali sehari. Pada permulaan mungkin berasa pedih, tetapi ia akan berkurang perlahan-lahan.

0 ulasan:

Catat Ulasan