Ahad, 7 April 2013

Khasiat Madu


BERAPA kerap anda menggunakan madu sebagai pengganti gula atau menjadikannya sebahagian daripada bahan masakan?
Tidak pernah, jarang atau anda hanya mengambil madu apabila mengalami masalah kesihatan seperti selesema dan batuk?
Dikelilingi dan didedahkan dengan pelbagai ubat moden sejak kecil, ramai antara kita terlupa bahawa madu juga boleh menjadi penawar kepada banyak gangguan kesihatan selain mempunyai nilai pemakanan tinggi.
Secara umumnya setiap titis madu mengandungi:
# Vitamin — A, B1, B2, B3, C, D, E dan K.
# Garam galian — Kalsium, fosforus, sulfur, zat besi, karbon, magnesium, natrium, kalium, klorin, iodin, kuprum, mangan dan silika.
# Beta karoten.
# Gula — Glukosa, fruktosa dan sakarin.
Khasiat madu banyak disebutkan dalam al-Quran seperti surah an-Nahl ayat ke-69 yang bermaksud: “Kemudian makanlah daripada setiap macam buah-buahan dan tempohlah jalan TuhanMu yang dimudahkan. Daripada perut lebah itu keluar minuman madu yang bermacam-macam warna di dalamnya terdapat ubat menyembuhkan bagi manusia. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda kebesaran Tuhan bagi orang yang memikirkan.”
Malah, Rasulullah SAW juga berpesan supaya kita berubat dengan madu dan al-Quran melalui hadisnya yang bermaksud: “Ambillah, pergunakanlah olehmu sekalian akan dua ubat penyembuh iaitu madu dan al-Quran.” (Riwayat Ibnu Majah)
Ada orang mengamalkan mengambil madu setiap hari untuk kekal sihat kerana ia bukan saja membekalkan banyak zat tetapi juga didapati boleh meningkatkan tenaga, merangsang dan memperbaiki aliran darah.
Madu juga kaya dengan fruktosa iaitu gula ringkas yang boleh diserap terus ke dalam darah untuk memberi tenaga segera.
Tidak hairanlah jika ada penyelidik menggelar madu sebagai ‘agen’ untuk mencerdaskan otak kerana apabila aliran darah lancar, lebih banyak oksigen dapat dibawa ke otak.
Ini membolehkan kita berfikir dengan lebih baik untuk menghasilkan idea kreatif dan meningkatkan prestasi kerja.
Lebih menarik, madu boleh menjadi antibiotik dan antiseptik bagi melawan jangkitan bakteria.
Kajian penyelidik Universiti Wales mendapati, madu boleh menghentikan aktiviti bakteria yang menyerang luka dan menghalang jangkitan daripada terus merebak.
Apabila menjangkiti luka, bakteria membentuk satu lapisan nipis dipanggil biofilem yang menyebabkan bahagian ini kurang sensitif pada antibiotik dan antiseptik.
Lapisan biofilem ini sukar dimusnahkan kerana apabila disapu ubat (antiseptik) bakteria bergumpal dan membentuk lapisan lebih tebal.
Maknanya jika anda menyapu antiseptik, ia kurang berkesan kerana lapisan ini menghalang antiseptik daripada membunuh bakteria.
Jika dibiarkan, bakteria pada luka ini membiak lebih banyak dan boleh menyebabkan luka menjadi kudis.
Penyelidik mengkaji enam jenis bakteria yang diambil daripada luka pesakit dan dibiak di dalam makmal.
Kajian mendapati madu mampu ‘memecahkan’ lapisan biofilem pada setiap kultur bakteria dan ini menandakan luka boleh bertindak balas dengan lebih baik terhadap ubat.
Kajian berkenaan membuktikan kaedah tradisional menggunakan madu untuk merawat luka pada askar yang diamalkan di kebanyakan hospital di Cardiff pada awal 1970-an sememangnya berkesan.
Selain itu, penyelidik di Australia mendapati apabila madu yang dicairkan disapu ke atas luka, ia menghasilkan hidrogen peroksida iaitu sejenis agen antibakteria.
Ia menghalang dan merencatkan pembiakan bakteria selama beberapa jam. Didapati lebih pekat madu disapukan kepada luka, kesan antibakteria ini lebih lama sehingga lima hingga 10 jam bagi madu dengan kepekatan dua dan tiga peratus.
Bagaimana madu boleh menjadi sehebat ini? Rahsianya ialah kandungan gula yang tinggi dalam madu. Jika ada kelembapan (air), molekul air ini melekat kepada molekul gula dan bakteria tidak dapat menggunakan air berkenaan untuk membiak.
Selain itu, kehadiran kalium dalam madu menyerap kelembapan yang menyebabkan bakteria tidak boleh hidup dalam madu. Ini sebabnya madu boleh disimpan bertahun-tahun lamanya pada suhu bilik.
Ada juga penyelidik menulis bahawa madu boleh digunakan dalam rawatan mangsa kebakaran darjah pertama (kulit menjadi merah, bengkak, sangat sensitif, sakit serta menggelupas sedikit). Menyapukan madu pada kulit yang terbakar boleh menghalang jangkitan, menyerap nanah dan mengurangkan kesakitan.
Madu berwarna gelap mengandungi lebih banyak kuprum, zat besi dan mangan. Madu juga boleh merangsang badan untuk menyerap vitamin dan zat pemakanan dengan lebih baik.
Dalam hadis yang diriwayatkan Bukhari ada menyebut Rasulullah SAW pernah menasihatkan meminum madu untuk mengatasi masalah cirit-birit. Kajian terdahulu membuktikan, madu dapat menyembuhkan luka peptik (luka pada usus) dan mengatasi masalah pada usus, termasuk sistem penghadaman.
Antara manfaat madu yang lain ialah:
# Membekalkan tenaga segera. Gula dalam madu mudah dihadam dan digunakan untuk memberi dan memulihkan tenaga.
# Membantu melawaskan sistem perkumuhan.
# Membantu buah pinggang berfungsi lebih baik.
# Mencergaskan dan menenangkan fikiran (kerana lebih banyak oksigen dibekalkan ke otak).
# Menghentikan jangkitan bakteria.
# Mengurangkan kesakitan pada kulit terbakar.
# Mengurangkan parut.
# Merangsang pertumbuhan sel baru dan mempercepatkan penyembuhan luka.
Walaupun mengandungi banyak gula, madu didapati boleh melindungi gigi daripada serangan bakteria. Kajian menunjukkan sifat antibakteria madu boleh mengelak pembentukan plak pada gigi dan pada masa sama membunuh bakteria dalam mulut yang secara tidak langsung mencegah kerosakan gigi dan keradangan gusi.
Jadi selepas ini anda (terutama ibu yang mempunyai anak kecil) ada alasan baik untuk menyimpan madu di rumah.
Untuk merawat luka, sapukan madu pada luka yang sudah dibersihkan atau pada pembalut luka.
Tukar pembalut ini sekali atau dua kali sehari. Pada permulaan mungkin berasa pedih, tetapi ia akan berkurang perlahan-lahan.

Contohi sifat positif lebah


Seorang mukmin adalah manusia yang memiliki sifat unggul. Sifat berkenaan membuatnya memiliki keistimewaan dibandingkan dengan manusia lain. 

Sehingga di mana pun mereka dia berada, ke mana pun mereka pergi, apa yang mereka lakukan, apa peranan dan tugas apa pun yang mereka lakukan selalu membawa manfaat dan maslahat bagi manusia lain. 

Maka jadilah dia orang yang seperti dijelaskan Rasulullah, “Manusia paling baik adalah yang paling banyak memberikan manfaat bagi manusia lain.”

Kehidupan ini agar menjadi indah, menyenangkan, dan sejahtera memerlukan manusia seperti itu. Menjadi apa pun, dia akan menjadi yang terbaik; apa pun peranan dan fungsinya maka segala yang dia lakukan adalah hal yang membuat orang lain, menjadi bahagia dan sejahtera.

Nah, sifat yang baik itu antara lain terdapat pada lebah. Rasulullah SAW dengan penyataan dalam hadis di atas mengisyaratkan agar kita mencontohi sifat positif yang dimiliki oleh lebah. 

Tentu saja, sifat itu sendiri memang adalah ilham daripada Allah SWT seperti mana yang Dia firmankan, “Dan Tuhanmu mewahyukan (mengilhamkan) kepada lebah: ‘Buatlah sarang-sarang di bukit-bukit, di pohon-pohon kayu, dan di tempat-tempat yang dibikin manusia.

“Kemudian makanlah dari tiap-tiap (macam) buah-buahan dan tempuhlah jalan Tuhanmu yang dimudahkan (bagimu). Dari perut lebah itu keluar minuman (madu) yang bermacam-macam warnanya, di dalamnya terdapat ubat yang menyembuhkan bagi manusia. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda (kebesaran Tuhan) bagi orang-orang yang memikirkan.” (Surah An-Nahl ayat 68-69).

Sekarang, bandingkan apa yang dilakukan lebah dengan apa yang seharusnya dilakukan seorang mukmin, seperti berikut: Hinggap di tempat yang bersih dan menyerap hanya yang bersih.

Lebah hanya hinggap di tempat-tempat pilihan. Dia sangat jauh berbeza dengan lalat. Serangga yang terakhir amat mudah ditemui di tempat sampah, kotoran, dan tempat berbau busuk. 

Tapi lebah ia hanya mendatangi bunga-bungaan atau buah-buahan atau tempat bersih lainnya yang mengandung bahan madu.

Begitulah pula sifat seorang mukmin. Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Hai manusia, makanlah yang halal lagi baik dari apa yang terdapat di bumi dan janganlah kamu mengikuti langkah-langkah syaitan; kerana sesungguhnya syaitan adalah musuh yang nyata bagimu. (Surah Al-Baqarah ayat 168).

(Yaitu) orang-orang yang mengikut Rasul, Nabi yang ummi yang (namanya) mereka dapati tertulis di dalam Taurat dan Injil yang ada di sisi mereka, yang menyuruh mereka mengerjakan yang makruf dan melarang mereka dari mengerjakan yang mungkar dan menghalalkan bagi mereka segala yang baik dan mengharamkan bagi mereka segala yang buruk dan membuang dari mereka beban-beban dan belenggu-belenggu yang ada pada mereka. Maka orang-orang yang beriman kepadanya, memuliakannya, menolongnya dan mengikuti cahaya yang terang yang diturunkan kepadanya (Al-Quran), mereka itulah orang-orang yang beruntung. (Surah Al-A’raf ayat 157).

Kerananya, jika ia mendapat­kan amanah dia akan menjaganya dengan sebaik-baiknya. Ia tidak akan melakukan rasuah, pencurian, penyalahgunaan sewenang-wenangnya, manipulasi, penipuan dan dusta.

Segala kekayaan hasil perbuatan tadi adalah khabaits (kebusukan). Mengeluarkan yang bersih. Siapa yang tidak kenal madu lebah. Semuanya tahu madu mempunyai khasiat kepada kesihatan manusia. 

Tapi dari organ tubuh manakah keluarnya madu itu? Itulah salah satu keistimewaan lebah. Dia produktif dengan kebaikan, bahkan daripada organ tubuh yang pada binatang lain hanya melahirkan sesuatu yang menjijikkan ditemukan pula produk lebah selain madu yang juga diyakini mempunyai khasiat tertentu untuk kesihatan: air liurnya!

Seorang mukmin adalah orang yang produktif dengan kebajikan. “Hai orang-orang yang beriman, rukuklah kamu, sujudlah kamu, sembahlah Tuhanmu dan buatlah kebajikan, supaya kamu mendapat kemenangan.” (Surah Al-Hajj ayat 77).

Al-khair adalah kebaikan atau kebajikan. Akan tetapi al-khair dalam ayat di atas bukan merujuk pada kebaikan dalam bentuk ibadah ritual. Sebab, perintah ke arah ibadah ritual sudah diwakili dengan kalimat “rukuklah kamu, sujudlah kamu, sembahlah Rabbmu” (irka’u, wasjudu, wa’budu rabbakum). 

Al-khair di dalam ayat itu bermakna kebaikan atau kebajikan yang buahnya dirasakan manusia dan makhluk lainnya. Segala yang keluar dari dirinya adalah kebaikan. 

Hatinya jauh daripada prasang­ka buruk, iri, dengki; lidahnya tidak mengeluarkan kata-kata kecuali yang baik perilakunya tidak menysahkan orang lain melainkan malah membahagiakan; hartanya bermanfaat bagi banyak manusia; kalau dia berkuasa atau memegang amanah tertentu, dimanfaatkannya untuk sebesar-besar manfaat manusia.

Tidak pernah merosak seperti yang disebutkan dalam hadis yang sedang kita bahas ini, lebah tidak pernah merosak atau mematahkan ranting yang dihinggapi. 

Begitulah sifat seorang mukmin. Dia tidak pernah melakukan kerosakan dalam hal apa pun: baik material mahupun bukan material. Bahkan dia selalu melakukan kebaikan terhadap orang lain. 

Dia melakukan kebaikan akidah, akhlak, dan ibadah dengan cara berdakwah. Mengubah kezaliman apa pun bentuknya dengan cara berusaha menghentikan kezaliman itu. 

Jika kerosakan terjadi akibat rasuah, ia perlu membanterasnya kemudian menjauhi perilaku buruk itu. Berbalik kepada lebah, ia serangga yang kuat bekerja. 

Ketika muncul pertama kali dari biliknya (menetas), lebah membersihkan bilik sarangnya untuk telur baru dan setelah berumur tiga hari ia memberi makan larva, dengan membawakan serbuk sari madu

Begitulah, hari-harinya penuh semangat berkarya dan beramal. Bukankah Allah pun memerintahkan umat mukmin untuk bekerja keras? “Maka apabila kamu selesai (dari sesuatu urusan), kerjakanlah dengan sungguh-sungguh (urusan) yang lain.” (Surah al-Insyirah ayat 7).

Kerja keras dan semangat pantang undur itu lebih dituntut lagi dalam upaya menegakkan keadilan. Meskipun memang banyak yang cinta keadilan, namun kebanyakan manusia kecuali yang mendapat rahmat Allah- tidak suka jika dirinya “dirugikan” dalam menegakkan keadilan.

Bekerja secara berkumpulan (jama’i) dan tunduk pada satu pimpinan. Lebah selalu hidup dalam kelompok besar, tidak pernah menyendiri. 

Mereka pun bekerja secara kolektif dan masing-masing mempunyai tugas sendiri. Ketika mendapatkan sumber sari madu, mereka akan memanggil teman-temannya untuk menghisapnya. 

Demikian pula ketika ada bahaya, seekor lebah akan mengeluarkan feromon (suatu zat kimia yang dikeluarkan oleh binatang tertentu untuk memberi isyarat tertentu) untuk memanggil teman-temannya untuk membantu dirinya.

Itulah seharusnya sikap orang beriman. “Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang berperang di jalan-Nya dalam barisan yang teratur seakan-akan mereka seperti suatu bangunan yang tersusun kukuh.” (Surah Ash-Shaff ayat 4).

Tidak pernah melukai kecuali kalau diganggu. Lebah tidak pernah memulakan serangan. Ia akan menyerang ketika terasa terganggu atau terancam. 

Untuk mempertahankan “kehormatan” umat lebah itu, mereka rela mati dengan melepas sengatnya di tubuh pihak yang diserang. Sikap seorang mukmin: musuh tidak dicari. 

Tapi jika ada, tidak lari. Itulah beberapa karakter lebah yang perlu dicontohi orang beriman. Bukanlah sia-sia Allah menyebut dan mengabadikan binatang kecil itu dalam al-Quran sebagai salah satu nama surah: An-Nahl. Allahu a’lam.

Madu Tualang


Madu tualang adalah madu hutan berkhasiat tinggi. Malah, beberapa kajian termasuk kajian universiti tempatan mendapati madu tualang mengandungi lima kali ganda lebih khasiat daripada madu lebah yang dipelihara.

Ini disebabkan kepelbagaian sumber nektar yang diambil oleh lebah hutan gergasi (apis dorsata). Lebah terbabit mengambil sumber nektar daripada pelbagai flora di dalam hutan yang mengandungi khasiat yang tinggi. 

Selain khasiatnya untuk kesihatan, madu tualang boleh dijadikan ramuan untuk menghasilkan pupur muka yang meningkatkan seri wajah menerusi menerusi khasiatnya dan adunan 1,001 nektar bunga hutan yang ada dalam madu tualang.

Antara kelebihan madu tualang sebagai pupur muka termasuk fungsinya untuk membantu melembutkan kulit dan menghasilkan ton wajah yang sekata. 

Ia juga membantu mengurangkan jerawat, menyembuhkan luka dengan cepat dan membantu memudarkan parut.

Untuk membuat pupur muka, kaedahnya mudah saja. Ia dihasilkan menggunakan campuran madu tualang, minyak zaitun, telur dan dadih tanpa perasa yang kemudian boleh disapu ke wajah selama 15 hingga 30 minit sebelum dibilas.

Khasiat madu tualang sebagai makanan tambahan yang baik untuk menjaga kesihatan juga diperakui. Ia lazimnya menjadi buruan mereka yang bermasalah kesihatan bagi membantu mencegah penyakit seperti batuk, batuk kering, asma, alahan, gastrik, resdung, sakit sendi dan sukar tidur.

Madu tualang turut membantu dalam pelbagai aspek lain termasuk untuk menambahkan stamina dan membekalkan tenaga serta meningkatkan metabolisme tubuh. 

Ia turut berfungsi sebagai agen antioksidan yang boleh mengurangkan aktiviti pemusnahan sel serta merawat luka.